Anda tahu tak yang angka “86” di AE86, GT86, dan GR86 bukan sekadar nombor model? Nombor itu ada terkandung dalamnya sejarah, kejuruteraan, dan car culture yang berevolusi sejak berzaman. Kalau anda minat kereta ini, anda kena tahu maklumat 86 ini.
Ceritanya bermula dengan AE86 Corolla tahun 1980-an. Nama “AE86” merujuk kepada sistem menamakan kereta Toyota. A adalah keluarga enjin, E adalah platform Corolla, dan 86 adalah generasi dan varian prestasi. Peminat hardcore kereta ini berikan jolokan “Hachi-Roku” yang merupakan terjemahan “lapan-enam” dalam bahasa Jepun.
AE86 jadi fenomena dalam zamannya sebab ia ringan, guna pacuan roda belakang, kejuruteraan ringkas serta enjin berkuasa tinggi 4A-GE 1.6L. Enjin ini terus jadi kegemaran dalam sukan permotoran khususnya yang suka drift.
Selepas AE86, Toyota sambung pula legasi kereta ini dengan GT86 dan GR86. Dua-dua model itu masih kekalkan falsafah sebelum ini iaitu pacuan roda belakang, pengendalian seimbang, pusat graviti rendah. Kereta ini lebih fokus pada keseronokan memandu berbanding kuasa.
Satu info menarik yang peminat siri 86 wajib tahu adalah beberapa enjin prestasi tinggi Toyota gunakan ukuran bore & stroke 86mm. Ia juga dikenali sebagai “enjin petak” apabila lebar bore dan jarak stroke hampir sama untuk beri keseimbangan antara kuasa dan tork.
Secara intipatinya, angka “86” merujuk kepada ikon budaya serta lambang kejuruteraan Toyota untuk hasilkan mesin yang prestasinya setara dengan keseronokkan.
Sumber: Toyota

