BMW Malaysia mengumumkan tiga model baharu dalam pelbagai kategori untuk pengguna pasaran ini. Model paling berkuasa adalah BMW M2 CS kemudian diikuti dengan M3 Touring pertama yang masuk Malaysia secara rasmi dan akhir sekali adalah 218 Gran Coupe M Sport yang dikemas kini. Ketiga-tiga model BMW ini menduduki tiga paras harga dan kategori prestasi berbeza.
BMW M2 CS paling berkuasa dalam kelasnya
Model yang paling berkuasa dalam kalangan yang dilancarkan adalah BMW M2 CS yang ada tanda harga RM950,800. Berbanding dengan M2 biasa, M2 CS ini harganya RM294,000 lebih tinggi.

Bila buka bonet depan, ia ada enjin 6 sebaris 3.0L dwiturbo yang keluarkan kira-kira 527hp dan 650Nm tork. Ini adalah yang paling berkuasa pernah ada pada sebuah M2. Kuasa disalurkan ke tayar belakang menggunakan kekotak transmisi 8 kelajuan.
BMW M2 CS boleh capai halaju 100km/j daripada pegun dalam masa 3.8 saat saja. Kelajuan maksimum yang diiklankan adalah 302km/j tapi dihadkan secara elektronik dan menggunakan M Driver’s Package standard.

Tak terhad di enjin. Bahagian lain juga terima pembaharuan. Contohnya BMW rendahkan suspension sebanyak 8mm, casisnya ditala semula, rim kini guna jenis tempa khas, serta kelengkapan brake juga dah dinaik taraf. Berat BMW M2 CS juga 30kg lebih ringan berbanding versi biasa kerana banyak guna carbon fiber.

Tak hairanlah M2 CS pernah memegang rekod terpantas sekitar Nurburgring untuk kelas kereta kompak. Ia dicatatkan oleh jurutera M Jorg Weidinger yang menyudahkan pusingan dalam tempoh 7 minit dan 25.5 saat untuk kalahkan Audi RS3 sebanyak 8.6 saat dan juga 13.2 saat lebih pantas daripada M2 model biasa.
BMW M3 Touring gabung praktikal dan prestasi
Model ini buat kemunculan pertama secara rasmi di Malaysia iaitu BMW M3 Touring Competition M xDrive. Ini adalah station wagon prestasi tinggi BMW yang pertama masuki Malaysia secara rasmi. Harganya RM898,800 ataupun RM60,000 lebih mahal berbanding versi sedan M3 Competition.

Ia gunakan enjin yang sama seperti M2 CS tadi untuk keluarkan 527hp dan 650Nm tork. Tapi model ini adalah AWD menggunakan sistem pemanduan xDrive. Dengan kelengkapan ini, pecutan ke 100km/j kenderaan ini mengambil masa 3.6s sahaja.

Mantap di prestasi, praktikal pun ada juga. M3 Touring ini ada 500L ruang kargo dan apabila kerusi belakang dilipat penuh, ruang kargo meningkat jadi 1,510L. Ia sangat sesuai untuk dijadikan kenderaan keluarga tapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan prestasi. Lagipun, station wagon adalah gaya kenderaan yang sangat jarang ada atas jalan raya Malaysia.

Bakal pemilik M3 Touring ini pastinya akan jadi tatapan ramai sewaktu memandu.
BMW 218 Gran Coupe M Sport hanya naik taraf kelengkapan
Sedang cari BMW murah? Ini adalah jawapannya. BMW 218 Gran Coupe M Sport adalah model paling mampu milik dalam kalangan yang dilancarkan kali ini. Tanda harga yang dimilikinya adalah RM192,800. Berbanding model sedia ada, perubahan yang BMW bawakan adalah kelengkapan dan penggayaan saja.

Beza RM20,000 berbanding 218 Sport biasa adalah pemilik akan terima suspension Adaptive M, body kit M Sport penuh, audio Harman Kardon, paparan HUD, dan beberapa ciri bantu pandu aktif tambahan yang lain.
Dengan kata lain, tambah RM20,000 untuk dapatkan beberapa aksesori baru untuk buatkan kereta nampak lagi sporty.

Pada segi prestasi, tiada sebarang perubahan dilihat. Ia masih guna enjin turbo 1.5L 3 silinder yang keluarkan kira-kira 154hp dan 230Nm yang salurkan kuasa melalui kekotak transmisi DCT 7 kelajuan ke tayar depan. Pecutan abad model ini mengambil masa 8.6 saat.

3 model, 3 kategori, 3 sasaran pengguna
Tiga model yang BMW Malaysia lancarkan jelas mensasarkan kategori pengguna yang khusus. M2 CS berprestasi tinggi bakal menarik minat enthusiast ataupun pengumpul jentera BMW untuk memenuhkan ruang garaj. Kemudian, pembeli berkeluarga yang perlukan sesuatu serba guna boleh pertimbangkan M3 Touring yang boleh dibawa secara agresif bila masuki Lebuhraya Karak ataupun touge di Genting Highlands. Akhir sekala, 218 Gran Coupe M Sport boleh jadi gerbang pengenalan pengguna yang baru nak berjinak-jinak dengan jenama BMW.

