Jetour T1 Malaysia SUV boxy harga boleh dengar

Oleh:

Jetour Auto Malaysia telah lancarkan Jetour T1, beberapa bulan selepas ia dipertontonkan kepada khalayak sewaktu Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS). Sekilas pandang, Jetour T1 adalah mirip Jetour T2 yang sedia berada dalam pasaran Malaysia tetapi dengan sedikit twist. Model T1 dibangun dengan fokus kepada pemanduan urban berbanding T2 yang nampak seperti habitatnya adalah hutan belantara.

Dua varian dan harga Jetour T1 di Malaysia

Dalam pasaran Malaysia, Jetour T1 ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan harganya adalah seperti berikut:

  • Jetour T1 1.5L TGDi 2WD – RM129,800
  • Jetour T1 2.0L TGDi XWD – RM146,800

Bersempena dengan pengumuman tersebut, ada promo pembelian awal dijalankan. 2,000 pembeli terawal Jetour T1 akan menerima rebat sebanyak RM2,000 beserta kadar pembiayaan serendah 1.67% jika mereka lakukan tempahan. Untuk makluman, kereta ini dilindungi jaminan selama 7 tahun atau 150,000km serta 5 kali servis percuma diberikan.

Spesifikasi Jetour T1 di Malaysia

Dari segi prestasi, varian 1.5L TGDi menggunakan enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan 167hp dan 270Nm. Varian 2.0L TGDi XWD pula menghasilkan 241hp dan 375Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan dengan varian 1.5L dipacu roda depan manakala 2.0L dipacu semua roda.

Varian 2.0L turut menawarkan tujuh mod pemanduan termasuk Snow, Mud, Sand dan Rock, selain fungsi crawl control untuk pemanduan di permukaan mencabar.

Dari segi reka bentuk, Jetour T1 mengekalkan rekaan boxy macam T2. Beza terbesar T1 boleh anda lihat di pintu but yang tiada tayar spare dan pintu itu ada motor elektrik. Sebagai perbandingan, T2 ada tayar spare tergantung di pintu but yang kukuhkan imej offroad seperti sebuah Pajero.

Varian asas 1.5L TGDi 2WD ada roda dengan rim aloi 18” dan di bahagian bumbungnya ada rel besi yang akan jadi tempat pemasangan storan. Di bahagian dalam, pemandu duduk di atas kerusi berbalut kulit sintetik di hadapan instrumen klustar 10.3”.

Semua fungsi hiburan dihimpunkan dalam sistem inforia berskrin 12.8” yang salurkan runut audio menerusi 7 speaker di dalam kabin. Inforia Jetour T1 sokong Apple CarPlay dan Android Auto wayarles. Selain itu, ada juga disediakan pad pengecas telefon wayarles dan 7 USB bertebaran di sekitar kabin, untuk kemudahan pengguna.

Varian 2.0L TGDi XWD ada beberapa kelebihan esklusif. Salah satu daripadanya adalah roda aloinya bersaiz 19” dan varian ini ada bumbung kaca panorama. Skrin inforia varian ini juga lebih besar 15.6” dan sejumlah 9 speaker berjenama Sony bertugas untuk hiburkan anda.

Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, kamera keliling 360 darjah, sensor tekanan tayar (TPMS) dan pakej ADAS Tahap 2 yang merangkumi emergency braking, adaptive cruise control, lane keeping assistance, blind spot monitoring and rear cross traffic alert.

Saingan Jetour T1 di Malaysia

Dengan harga bermula RM129,800, Jetour T1 memasuki segmen SUV yang cukup kompetitif. Antara model yang berada dalam julat harga hampir sama ialah Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Kia Sportage, Hyundai Tucson, Mazda CX-5, Jaecoo J7, Chery Tiggo 7 PHEV, MG HS dan GWM Haval H6.

Sumber: Jetour