Tempahan untuk Proton S70 Lite & Prime dah pun dibuka. Ia dijangka akan laku keras kerana harga dilapor berada sekitar RM55,000 hingga RM59,000 ataupun RM15,000 lebih murah berbanding S70 Turbo Executive. Jimat RM15,000 dapat sedan dengan ruang besar, apa lagi nak runsing? Tapi jangan anda tak tahu, Proton S70 baharu ini ada enjin yang berbeza, output kuasa berbeza, dan kelengkapan dalaman berbeza.
Kalau dipertimbangkan apa yang anda jimat dan apa yang anda hilang, di situlah baru soalan nak pilih varian mana jadi lebih rumit. Betulkah Proton S70 Naturally Aspirated (NA) lebih berbaloi berbanding Proton S70 Turbo? Artikel ini akan kupas lapisan demi lapisan.
Proton S70 NA vs. Turbo: Apa yang berbeza?
Beza paling besar Proton S70 NA berbanding Turbo tentulah pada enjinnya dan ia diterjemah kepada output kuasa yang agak berbeza. S70 NA menggunakan enjin 1.5L alami yang keluarkan sekitar 120PS (118hp) dan 150Nm tork berbanding 181PS (178hp) dan 290Nm tork. Beza daya tujahan hampir sekali ganda. Kemudian, sistem transmisi juga berbeza. S70 NA menggunakan kekotak CVT seperti Proton Saga sementara S70 Turbo ada kekotak DCT 7 kelajuan
Pemanduan bandar vs. lebuh raya
Untuk pandu di atas jalan raya Malaysia, varian NA sepatutnya praktikal untuk penggunaan di bandar, kampung, ataupun gaya pemanduan tidak agresif. Tapi, anda akan rasa beza kuasa bila nak memotong, di lebuh raya, naik bukit, atau bawa muatan penuh. Enjin NA perlukan lebih masa dan kesabaran untuk capai output dan kelajuan yang diingini sementara enjin turbo ada tork yang lebih tinggi untuk bekerja.
Satu lagi perlu diambil kira adalah S70 NA dan S70 Turbo asasnya ada chasis yang sama dan bermakna berat juga sama. Ia juga bakal pengaruhi pengalaman memandu kereana enjin 1.5L NA yang sama juga diguna di Proton Saga. Makanya, nisbah kuasa kepada berat adalah berbeza.
Kelengkapan keselamatan
S70 NA tetap datang dengan ciri-ciri keselamatan yang harus ada pada kereta moden. Anda dapat 6 beg udara, electric stability control (ESC), reverse camera, sistem radar sisi dan belakang untuk blind-spot detection, rear cross traffic alert, rear-collision warning, dan door-opening warning.
Walau bagaimanapun, satu kekurangan S70 NA adalah ketiadaan ciri bantu pandu aktif (ADAS). Paling ketara adalah tiada auto emergency brake (AES), apatah lagi adaptive cruise control (ACC). Jadi, janganlah kata S70 NA ini tak selamat, ia masih lagi ada komponen-komponen keselamatan yang perlu.
Proton S70 NA vs Turbo: Berapa beza bayaran bulanan?
Bila tengok harga tunai, memang bezanya cecah RM15,000 dan nampak sangat murah. Tapi kita kena ingat yang majoriti pengguna Malaysia akan pinjam dari bank dan oleh sebab itu, lihat dari sudut bayaran bulanan adalah lebih tepat. Cuba ambil contoh loan 9 tahun, interest 2.5% p.a, dan 10% downpayment, tanpa insurans dan bayaran-bayaran lain. Di bawah ini tunjukkan anggaran bayaran bulanan untuk semua varian Proton S70.
| Varian | Anggaran bulanan |
|---|---|
| S70 Lite | RM561 |
| S70 Prime | RM602 |
| S70 Executive Turbo | RM753 |
| S70 Premium Turbo | RM815 |
| S70 Flagship | RM917 |
S70 Prime vs. S70 Executive Turbo beza RM151 sebulan
Satu perbandingan menarik adalah antara S70 Prime dengan S70 Executive iaitu varian turbo paling murah. Anggaran bayaran bulanan adalah masing-masing RM602 dan RM753, cuma RM151 merentasi 9 tahun. Dengan tambahan RM151/bulan anda dapat naik taraf prestasi yang agak besar iaitu 181PS/290Nm vs. 120PS/150Nm.
Jadi soalannya sekarang jadi adakah tambahan komitmen bulanan itu berbaloi? Berbalik kepada gyaa penggunaan, kalau penggunaan majoritinya di bandar, mungkin tak terasa sangat.
Siapa patut beli Proton S70 NA?
Proton S70 NA satu pembelian praktikal untuk pengguna yang nak sebuah sedan yang lapang tanpa perlu bayar lebih. Pada harga sekitar RM60,000 tiada jenama lain yang tawarkan kepraktikalan sebegitu. Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera, dan Perodua Bezza, bukan sahaja mereka lebih kecil malah tanda harga hampir RM100,000.
Beli S70 Na jika majoriti penggunaan anda di bandar iaitu anda tak perlukan prestasi terlalu tinggi dan dalam masa yang sama mampu milik. Jelas varian ini ditujukan pada pengguna bajet ketat dan perlukan satu alternatif kepada sedan Perodua dan tak mahu bayar harga premium untuk Toyota, Honda, dan Nissan.
Beli S70 Turbo jika prestasi adalah segala-galanya buat anda. Dengan kuasa tambahan, anda boleh rasa jadi raja di jalanan. Nilai tork tinggi sangat berguna di lebuh raya, sewaktu memotong kenderaan lain, ataupun bawa anda lari daripada situasi kecemasan. Anda juga beroleh sistem bantu pandu aktif (ADAS) untuk varian yang lebih premium.
S70 Lite vs Prime: Adakah murah lebih bagus?
Tadi kita bandingkan NA vs Turbo, sekarang banding pula NA vs NA iaitu S70 Lite dan S70 Prime yang gunakan enjin yang sama. Bila tiada beza pada prestasi, beza yang boleh diperhatikan adalah pada kelengkapan antara mereka. Kalau beli yang murah, komponen apa yang dikorbankan?
Anda bayar RM4,000 lebih murah pada S70 Lite, anda dapat:
- Tayar 16” (vs. 17”).
- Lampu halogen (vs. lampu LED).
- Cermin sisi tanpa motor.
- Kerusi fabrik (vs. leatherette).
- Tiada sensor parking depan.
RM4,000 nampak macam besar tapi bila ambil kira loan 9 tahun tadi, beza bayaran bulanan cumalah RM41/bulan. Untuk komitment tambahan itu, Prime nampak seperti satu pilihan lebih baik dan Lite nampak untuk yang mahukan harga paling rendah tanpa mengira keadaan.
Berbaloikan Proton S70 NA?
Proton S70 NA memang berbaloi kerana ia buatkan lebih ramai pengguna mampu merasai sedan dengan ruang kabin yang lapang tanpa perlu belanja besar. Namun begitu, S70 Turbo Executive nampak lebih mengiurkan kerana tambah RM151 anda dapat naik taraf prestasi yang agak besar.
Jika anda perlukan prestasi, tiada pilihan lain selain turbo. Tapi antara Lite dan Prime, bezanya bayaran bulanan adalah lebih kecil dan anda dapat naik taraf beberapa komponen. Bila semua diambil kira, matriks pembelian jadi seperti berikut:
- Proton S70 Lite: Komitmen bulanan terendah apa jua cara
- Proton S70 Prime: NA paling berbaloi
- Proton S70 Executive Turbo: Prestasi adalah faktor terpenting

