Chery Omoda 5 sekali lagi berdepan masalah gandar belakang. Kali ini, JPJ telah campur tangan apabila sijil Vehicle Type Approval (VTA) model itu telah digantung sementara selepas insiden di Johor Bahru tempoh hari. Penggantungan tersebut bermakna tiada pendaftaran baharu Omoda 5 boleh dibuat sehingga JPJ berpuas hati dengan hasil siasatan dan penilaian keselamatan dijalankan pihak pengeluar.
Kenapa JPJ gantung VTA Omoda 5?
Tindakan menggantung VTA Omoda 5 dibuat selepas insiden pada 6 Oktober 2026 apabila sebuah Omoda 5 yang dipandu tiba-tiba tercabut gandarnya di tengah jalan. Kejadian terjadi di Jalan Pandan, dekat AEON Mall Tebrau City sewaktu jalan raya ramai pengguna. Sejurus digantung VTA, JPJ arahkan Chery untuk lakukan penyiasatan dan audit teknikal ke atas proses pemasangan model itu yang ada kaitan dengan gandar.

Audit yang diarahkan dibuat wajib meliputi kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan kimpalan, dan piawaian keselamatan komponen yang digunakan. JPJ katakan yang penggantungan hanya akan ditamatkan selepas langkah banteras dan pemulihan telah dijalankan dan JPJ berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil Chery.
Chery umum recall untuk Omoda 5 terkesan
Beberapa hari selepas insiden tersebut, pada 11 Oktober 2026, barulah Chery menerbitkan satu siaran media mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut Chery Auto Malaysia, mereka bekerjasama dengan JPJ untuk merungkaikan kemelut tersebut dan memulakan program recall untuk model terjejas iaitu Omoda 5 varian C dan varian H kerana mengguna pakai sistem suspensi jenis strut.

Pemilik Omoda 5 boleh memeriksa sama ada kereta mereka terlibat dengan memasukkan nombor pengendalan kenderaan (VIN) di laman web Chery. Pemeriksaan dan baik pulih yang diperlukan akan dilakukan secara percuma dan Chery mengesahkan yang model pengeluran terkini tidak terlibat dengan recall ini.
Ini bukan kes pertama gandar Omoda 5 tercabut
Perkara yang perlu anda beri perhatian adalah ini bukanlah insiden pertama gandar Omoda 5 bikin masalah di Malaysia. April 2024 ada insiden yang sama melibatkan model yang sama. Ketika itu, Chery telah panggil semula 600 kenderaan yang dihasilkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023. Ketika itu, siasatan didapati sebanyak 50 unit terkesan secara langsung.

Punca utama yang dilapor adalah mesin kimpalan yang tidak ditala dengan betul oleh pembekal komponen selepas penukaran mata kimpalan. Ketika itu, tidaklah diketahui apakah baik pulih yang telah dilaksanakan selepas itu kerana tiada sebarang campur tangan JPJ pada ketika itu.

Unit yang terlepas recall atau isu yang baharu?
Setakat ini, Chery tidak berkongsikan punca utama isu berulang tersebut sama ada masalah kimpalan tahun 2024 ataupun terdapat isu baharu yang timbul. Tambahan pula, program recall terbaharu ini tak nyatakan berapa unit yang terlibat ataupun daripada batch manakah ia berasal.
Buat masa ini, semua pemilik Omoda 5 disaran untuk semak nombor VIN kenderaan masing-masing menerusi laman web yang disediakan untuk lihat sama ada kenderaan mereka terlibat ataupun tidak.
Jualan Omoda 5 terjejas teruk?
Selepas insiden April 2024 dahulu, jualan Omoda 5 turun mendadak. Mereka pernah catatkan jualan bulanan hampir 1,300 unit dalam bulan April 2024 sebelum turun menjadi kurang 300 sekitar Julai 2024.

Setelah itu, jualan tidak lagi capai lebih 1,000 unit sebulan dengan data terbaharu daripada JPJ menunjukkan sebanyak 128 unit didaftarkan dalam bulan September 2026. Nombor itu merangkumi varian Omoda 5 elektrik dan Omoda C5 yang dijenamakan semula.

