Chery Sahkan 8,878 Unit Omoda 5 Malaysia Terlibat Recall

Oleh:

Chery panggil semula sebanyak 8,878 unit Omoda 5 di Malaysia terlibat dalam proses recall terbaharu. Ia susulan insiden berkaitan gandar belakang yang berlaku di Johor Bahru awal bulan ini. Jumlah tersebut didedahkan oleh Chery China menerusi satu kenyataan bertarikh 11 Oktober, yang berikan kita gambaran lebih jelas.

Sumber

Menurut Chery China, terdapat kenderaan daripada batch pengeluaran tertentu hadapi masalah kimpalan tak cukup kuat pada rear axle trailing arm. Dalam keadaan ekstrim, kimpalan berisiko gagal dan mungkin membahayakan pemandu.

Chery umumkan yang tiada kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan syarikat sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia berhubung perkara tersebut.

Untuk rujukan, sebanyak 16,289 pendaftaran Chery Omoda 5 telah direkodkan dalam pengkalan data JPJ. Ia bermakna separuh daripada Omoda 5 petrol atas jalan raya Malaysia terlibat dengan panggilan semula ini.

Pemilik Omoda 5 dapat pemeriksaan dan penggantian percuma

Chery Malaysia telah memulakan kempen recall untuk semua unit Omoda 5 yang terjejas dengan kerjasama JPJ. Pemilik kenderaan yang terlibat layak mendapatkan pemeriksaan percuma serta penggantian komponen berkaitan jika diperlukan di pusat servis Chery yang sah di seluruh negara.

Chery Malaysia turut memaklumkan bahawa penghantaran pertama alat ganti penggantian telah dimulakan, manakala syarikat sedang berusaha mempercepatkan penghantaran bekalan seterusnya. Pemilik boleh menyemak sama ada Omoda 5 mereka terlibat dengan memasukkan nombor VIN di laman Product Update Chery Malaysia.

Nombor VIN boleh ditemui pada label yang boleh dilihat melalui cermin hadapan, selain beberapa lokasi lain pada kenderaan. Pemilik juga boleh menghubungi Chery Careline di 03-9388 0888 untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Adakah ini isu yang sama dengan recall Omoda 5 pada 2024?

Ini merupakan recall kedua Omoda 5 di Malaysia yang melibatkan isu berkaitan gandar belakang. Pada April 2024, Chery telah memanggil semula 600 unit Omoda 5 yang dikeluarkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023 selepas laporan mengenai masalah gandar belakang. Pada ketika itu, siasatan Chery mendapati 50 unit terjejas secara langsung.

Isu terdahulu dikaitkan dengan mesin kimpalan yang tidak ditala dengan betul oleh pembekal komponen selepas berlaku perubahan pada mata kimpalan.Bagaimanapun, Chery belum mengesahkan sama ada isu terbaharu ini mempunyai kaitan dengan recall pada 2024.

Untuk recall terbaharu, Chery menjelaskan bahawa masalah berpunca daripada kekuatan kimpalan yang mungkin tidak mencukupi pada lengan membujur gandar belakang bagi kenderaan daripada kelompok pengeluaran tertentu.

Chery semak Omoda 5 di pasaran lain

Chery China turut memulakan penilaian risiko secara proaktif terhadap Omoda 5 daripada kelompok pengeluaran yang sama di China dan pasaran lain yang berkaitan.

Menurut Chery, pemeriksaan tersebut merupakan langkah pencegahan dan syarikat akan mengumumkan hasilnya berdasarkan penemuan siasatan. Sementara itu, pemilik Omoda 5 di Malaysia disaran menyemak nombor VIN kenderaan masing-masing dan mendapatkan pemeriksaan sekiranya kenderaan mereka tersenarai dalam kempen recall.