Naik Genting Highlands Perlu Bayar Mula 28 Mei Ini

Naik Genting Highlands Perlu Bayar Mula 28 Mei

Oleh:

Lepas spekulasi demi spekulasi, akhirnya pemilik Genting Highlands sahkan yang kutipan tol untuk naik tanah tinggi itu akan bermula 28 Mei 2026 ini. Penyelenggara jalan kawasan itu, Lingkaran Cekap Sdn. Bhd. (LCSB) dah utuskan pemakluman di laman rasmi mereka.

Untuk majoriti pelawat yang naik guna kenderaan persendirian, harga tol sekali masuk adalah RM5 dan harga tol setinggi RM25 boleh dikenakan untuk kategori tertentu. Info kadar tol adalah seperti di bawah:

  • Kelas 1 (Kereta/Van): RM5.00
  • Kelas 2 (Lori Sederhana): RM15.00
  • Kelas 3 (Lori Besar): RM25.00
  • Kelas 4 (Teksi): RM3.30
  • Kelas 5 (Bas): RM5.00

Berita baik buat penunggang dua roda. Kategori kenderaan ini telah dikecualikan daripada bayar tol. Tapi kena ingat yang kadang kala anda tak dibenarkan naik jika tiba terlalu awal khususnya yang motornya bising hingga ganggu pengguna lain. Selain motosikal ada lagi kenderaan yang dikecualikan. Contohnya ambulans ataupun kenderaan kecemasan yang lain serta kenderaan rasmi kerajaan yang berkhidmat di pejabat daerah dan agensi kerajaan lain.

Selain pengecualian tol, ada juga kategori pengguna yang boleh dapat kadar istimewa. Individu yang tinggal di Genting Highlands layak untuk dapat potongan 10% ke atas kadar tol. Permohonan untuk kadar istimewa ini boleh dibuat secara percuma sehingga 28 Jun 2026. LCSB juga ada sediakan pas musim yang ada tempoh sah 6 bulan. Tapi, harga pas bulanan tidak lagi diumumkan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi Lingkaran Cekap.