Malaysia pada 1 Jun 2026 telah mula pasarkan diesel B15 di Semenanjung Malaysia seperti yang dirancang. Ia bermakna, biodiesel di sini, dalamnya ada 15% Palm Methyl Ester (PME) berasaskan minyak sawit berbanding 10% (B10) sebelum ini.
Kata kerajaan, mereka nak kurangkan kebergantungan kepada bahan api import dan naikkan penggunaan minyak sawit tempatan serta sokong objektif kurangkan pelepasan karbon. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah katakan yang Malaysia dah mensyaratkan kenderaan diesel di Malaysia untuk sokong sehingga B20 sejak 2020 dan sepatutnya pengeluar ada tempoh yang cukup untuk menambah baik produk masing-masing.
Namun, menurut Paultan.org, respons bercampur-campur telah diterima daripada pengeluar kenderaan diesel. Asasnya terbahagi kepada 3 iaitu kategori yang katakan kenderaan mereka sokong B20, kategori yang katakan prestasi kenderaan terjejas, dan kategori yang tak beri respons langsung.
Kenderaan yang sokong diesel B15 Malaysia
Beberapa pengeluar sahkan kenderaan mereka sokong diesel B15 dan yang lebih tinggi.
Antara pengeluar yang berikan respons adalah seperti Isuzu untuk model D-Max 2020 ke atas, model Hyundai seperti Staria dan Palisade, model Kia seperti Carnival dan Sorento, model Ford generasi terbaharu untuk Ford Ranger dan Everest, dan model Mitusbishi Triton terbaharu.
Model yang tergolong dalam kategori ini pengeluarnya mengatakan yang tiada sebarang modifikasi diperlukan dan perlindungan jaminan masih berjalan seperti biasa.
Kenderaan yang terjejas dengan diesel B15
Walau bagaimanapun, Mazda katakan walaupun kenderaan mereka sokong Biodiesel B20, prestasi mungkin terjejas.
Pengeluarnya beri amaran yang pengguna mungkin rasakan pengurangan pada kuasa pecutan dan juga amaran lebih awal ke atas penapis minyak. Malah, Mazda sarankan model diesel CX-5 dan CX-8 untuk kekal gunakan B7 dan ke bawah.
Satu lagi pengeluar yang berikan amaran adalah Mitsubishi yang sarankan pengguna masih isi B7 untuk Triton generasi lama.
Pengeluar yang tak beri respons
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tidak berikan maklum balas terhadap model Navara untuk isu diesel B20 ini.
Satu lagi yang masih belum keluarkan sebarang kenyataan adalah UMW Toyota untuk Hilux dan Fortuner. Namun, untuk Toyota, model yang sedang dijual di pasaran negara jiran memang sokong biodiesel yang lebih tinggi peratusannya.
Sumber: Bernama

