GRMN Corolla 2026 diperkenal dengan lebih kuasa & agresif

Toyota Gazoo Racing (GR) perkenalkan GR Corolla versi yang lebih agresif iaitu GRMN Corolla edisi terhad yang akan dijual khas di pasaran Jepun, Amerika dan Australia.

GRMN Corolla adalah GR Corolla yang dinaiktaraf dalam banyak aspek penting, dari segi prestasi dan bahagian kit badan yang nampak lebih sporty. Berikut antara naiktaraf yang paling ketara:

1. Peningkatan Tork

Menggunakan enjin G16E-GTS 1.6L 3-silinder turbo yang telah ditala semula oleh jurutera Gazoo Racing.

Walaupun kuasa kuda mungkin dikekalkan pada paras yang optimum, penekanan utama diberikan kepada lonjakan tork yang lebih tinggi. Ini memberikan daya tarikan (pulling power) dan pecutan yang jauh lebih agresif pada gear pertengahan, terutamanya ketika memecut keluar dari selekoh tajam.

GRMN Corolla dapat capai sehingga 415 Nm tork. Bermakna, ia lebih 15 Nm berbanding GR Corolla biasa.

2. Kerusi Full Bucket Khas

Berbeza dengan GR Corolla biasa, GRMN mendapat kerusi full bucket dengan gabungan warna merah menyala dan hitam yang lebih bersifat racing.

Fungsi utamanya bukan sekadar estetik, tapi ia direka untuk memegang postur pemandu dengan ketat bagi menahan daya G-force yang tinggi di litar. Pada masa yang sama, penggantian kerusi ini merupakan langkah pengurangan berat (weight reduction) yang sangat signifikan.

3. Kit Badan Khas GRMN

Model GRMN didatangkan dengan pelbagai kelengkapan khas yang tidak ditawarkan pada varian biasa.

Ini lazimnya merangkumi penggunaan komponen carbon fiber (untuk bumbung atau hud), pengukuhan tambahan pada tegaran casis (chassis rigidity), pelebaran trek roda untuk stance yang lebih mantap, serta sistem suspensi dan aerodinamik baharu yang ditala khusus bagi cengkaman tayar yang maksimum pada kelajuan tinggi.

Tayar yang digunakan juga adalah jenis Michelin Pilot Sport Cup 2 (245/40ZR18) secara standard. EPS (Electric Power Steering) juga dinaiktaraf untuk lebih setabil ketika pemanduan dalam litar.

Berat juga turut dikurangkan 30KG berbanding model biasa dengan penambahan Intercooler Spray System untuk sistem penyejukan yang lebih bagus.

Kesimpulannya, pakej GRMN ini secara asasnya menukar karakter GR Corolla tersebut daripada sebuah hot hatch jalanan harian kepada sebuah jentera track weapon yang memfokuskan penjimatan berat dan respons pemanduan yang jauh lebih tajam.

Buat masa ni harga jualan dan tarikh mula penjualan belum diumumkan lagi. Dijangka GRMN Corolla ini akan dijual dengan unit yang terhad sekitar 200 ~ 500 unit sahaja di seluruh pasaran.