BYD Malaysia sahkan mereka akan bawa masuk teknologi Megawatt Flash Charging ke dalam pasaran ini. Jika direalisasikan, ini adalah sistem pengecasan EV terpantas dan tercanggih yang akan ada di Malaysia. Tiada sebarang garis masa dikongsikan dan pepasangan akan dijalankan secara berfasa di bilik pameran BYD dan Denza terpilih.
Apa itu BYD 1.5MW Megawatt Flash Charging
Teknologi ini didakwa boleh berikan output kuasa 1,500kW (1.5MW) ke dalam EV untuk letakkannya jauh lebih pantas daripada pengecas EV DC pantas yang ada dalam pasaran buat masa ini. Dalam situasi ideal pengecas ini boleh pam masuk tenaga daripada 10% ke 70% ataupun jarak gerak lebih 400km dalam masa 5 minit.
BYD Megawatt Flash Charging ini gunakan seni bina 1,000V yang bergandingan bersama arus agak tinggi. Sistem ini turut disokong oleh komponen Battery Energy Storage System (BESS) untuk stabilkan kuasa yang mengalir antara grid tenaga dan EV.
Sebenarnya sistem ini dibangun untuk menyokong platform EV BYD Super e-Platform generasi baharu.

Megawatt Flash Charging memang gempak tapiā¦
Atas kertas, manfaatnya memang menarik. Ia mampu kurangkan tempoh masa mengecas jadi sama seperti kita mengisi petrol ke dalam kereta.
Antara objektif yang nak dicapai selain kurangkan tempoh isi semula bateri EV adalah seperti mansuhkan keresahan beratur panjang di stesen pengecas dan perbanyakkan bilangan EV yang boleh gunakan pengecas pada satu-satu tempoh masa.

Namun, kepraktikalan dunia sebenar teknologi ini masih jadi tanda tanya, khususnya di Malaysia. Buat masa ini, tiada kenderaan yang boleh manfaatkan pengecas 1MW sepenuhnya. Majoriti EV sekarang menyokong input EV 50kW hingga 250kW sahaja. EV dengan input DC tertinggi sekarang adalah Xpeng X9 yang sokong sehingga 350kW dan dalan penawaran Denza sendiri, D9 buat masa ini mampu terima 166kW walaupun di China, D9 sudah ada yang sokong Megawatt Flash Charging.
Cabaran infrastruktur
Selain faktor sokongan EV, faktor yang seterusnya adalah sokongan grid tenaga. Nak alirkan 1.5MW pastinya bukan mudah. Daripada grid tenaga sendiri ia perlukan sambungan voltan tinggi bertaraf industri untuk masuk ke sistem. Itu belum dicerita lagi tentang hal penyejukkan untuk imbangi haba yang terhasil sewaktu proses penukaran AC kepada DC dan akhir sekali bagaimana BESS boleh imbangkan permintaan kuasa dengan bijak.
Oleh sebab itu, dalam masa terdekat dan sederhana, berkemungkinan besar kebanyakan pemilik EV tidak teruja pun dengan teknologi ini dan mereka masih akan gunakan pengecas DC yang sedia ada.
Sumber: The Sun

