Xiaomi telah capai sesuatu yang walaupun jenama kereta sendiri capai. Sebuah EV Xaiomi berjaya sudahkan satu pusingan di litar Nürburgring Nordschleife, tanpa pemandu. Syarikat teknologi itu gunakan sebuah Xiaomi YU7 GT yang dilengkapi aksesori litar untuk mengelilingi litar 20.8km dalam masa 10:29.483.
Ini adalah rekod rasmi dan sah di bawah prosedur pihak pengendali Nürburgring. Dengan pencapaian ini juga, pihak Nürburgring telah wujudkan satu kategori time attack baharu yang dinamakan Autnomous Driving (EV).
Xiaomi YU7 GT kelilingi Nürburgring, antara litar tersukar dunia
Nürburgring Nordschleife dikenali sebagai “neraka hijau” kerana ramai anggapnya antara litar tersukar di dunia walaupun dikelilingi kehijauan yang mendamaikan. Ia mengandungi 73 selekoh, perubahan aras sekitar 300 meter, ada lurus berkelajuan tinggi, dan ada juga bahagian jalan tak konsisten. Lokasi ini popular untuk syarikat automotif menguji prestasi jentera dan teknologi masing-masing.

YU7 GT berjaya harungi keseluruhan trek tanpa input manusia secara total, daripada kawalan stereng, brek, dan pecut. Anda boleh layan pusingan penuh dalam video yang diutuskan Xiaomi.
Himpunan teknologi Xiaomi jinakkan Nürburgring tanpa pemandu
Xiaomi berkongsikan sedikit maklumat tentang teknologi yang memungkinkan YU7 GT dipandu tanpa penumpang secara sendiri. Ia adalah gabungan sistem pemanduan pintar yang merangkumi Xiaomi Hyper Autonomous Driving (HAD), seni bina XLA, dan model teras MiMo-Embodied.
EV tersebut mengandungi puluhan sensor beraneka jenis seperti kamera, LiDAR, radar, dan ultrasonic yang mengimbas persekitaran tempatnya berada untuk fahami keadaan jalan. Data tersebut dianalisis oleh lapisan pengkomputeran yang bertunjangkan NVIDIA Drive Thor yang memproses secara masa nyata.

Data tersebut kemudian dicerakin secara lebih mendalam dengan sistem AI yang bukan berikan gerak balas secara reaktif tapi secara proaktif dengan cara memahami konteks dan meramal apa yang pemandu sebenar mungkin lakukan menggunakan model bahasa raya (LLM).
Akhir sekali adalah ciri seperti HAD yang pengguna nampak di dashboard pemandu. Itupun selepas semua tugasan berat tadi dah dibereskan beberapa lapisan komputer dan AI Xiaomi.
HAD sudahpun sedia diguna pakai pemilik kereta Xiaomi apabila dilancarkan dalam bulan Februari 2025 lalu. Ia adalah pesaing kepada Tesla Navigation on Autopilot (NOA). Beza HAD/NOA dengan FSD Tesla adalah HAD berada di sistem bantu pandu berautonomi tahap 4 sementara FSD dikatakan berada di tahap 5.

Apa yang Xiaomi cuba buktikan?
Tesla walaupun mereka berbangga ada sistem bantu pandu tahap 5 FSD, mereka masih belum lakukan sebarang ujian rasmi dan ia masih tak boleh digunakan di kebanyakan negara secara sah. Xiaomi pula mengujinya secara saintifik, telus, dan dipantau badan berautoriti. Ia tentu sekali bawakan kemajuan dalam teknologi pemanduan berautonomi.
Walau bagaimanapun, Xiaomi menekankan yang teknologi ini masih belum bersedia untuk digunakan secara total di jalan awam kerana masih ada banyak pemboleh ubah yang perlu diambil kira termasuklah berkaitan kawal selia pihak berkuasa.
Sumber: Xiaomi

