Tesla dah buka tempahan untuk Roadster generasi kedua untuk pasaran Malaysia. Mereka ada minta deposit dan amaunnya memang tak masuk akal.

Varian performance memerlukan anda bayar RM21,000 sewaktu nak lock tempahan dan tambahan RM182,000 dalam tempoh 10 hari. Varian yang lebih ekstrim iaitu Thrust perlukan RM21,000 dan juga RM988,000 yang jadikan jumlah deposti RM1.009 juta. Itu baru deposit dan bukan tanda harga sebenar. Tesla jangkakan Roadster akan mula dihasilkan dalam tahun 2028. Soalan yang menarik timbul, pengguna bayar sejuta untuk beli kereta atau beli slot beli kereta?
Tempahan Tesla Roadster dah mula hampir 10 tahun lalu
Cerita tentang generasi baharu Tesla Roadster jadikan soalan itu lebih releven. Buat yang terlepas berita, Tesla umumkan generasi baharu Roadster mereka dalam tahun 2017. Pada ketika itu mereka janjikan spesifikasi yang gempak, walaupun untuk standard hari ini. Angka seperti pecutan 100km/j kurang 2 saat, laju lebih 402 km/j dan jarak gerak hampir 1,000km.

2017 lalu, harga jualan seperti yang diumumkan adalah bermula USD200,000 dengan varian Founder Series pada USD250,000. Tesla juga membuka tempahan awal untuk 1,000 unit Feounder Series dan dilaporkan semua slot telah disambar orang. 9 tahun kemudian, kelibat kereta itu masih tiada.

Apa yang ada adalah satu lagi janji dan kereta yang ada specs lebih tinggi daripada yang ditunjuk tahun 2017. Contohnya, Thrust gunakan penujah cold-gas dan boleh capai 100 km/j kurang daripada 9 saat manakala version yang lebih berkuasa, Rocket, capai 100 km/j dalam 0.59 saat. Ia kereta yang diperagakan pada media yang dijemput, daripada jauh.

Memang orang teruja dengan spesifikasi yang kian meningkat. Tapi, garis masa pun juga memanjang, dan kali ini tesla minta pengguna beri deposit lebih sejuta?
Nilai tersembunyi disebalik deposit Tesla Roadster
Daripada perspektif pelanggan, bayar deposit untuk kunci secebis masa depan. Tapi kalau dilihat menerusi kaca mata Tesla, ia adalah satu amanah, amanah yang dipegang sehinggalah mereka berjaya hasilkan kereta tersebut dan hantarnya kepada pelanggan. Sungguhpun begitu, Tesla sudahpun ada tunai di dalam tangan dan ia bebas bunga, tak seperti jika mereka buat pinjaman wang.

Cuba bayangkan situasi ini. Tesla buka tempahan 1,000 slot untuk Tesla Roadster Thrust dan semuanya dipenuhi. Ia bermakna Tesla beroleh lebih RM1 billion tunai. Jika mereka laburkannya dalam deposit tetap dengan 5% keuntungan setahun, Tesla dapat RM50 juta dalam bentuk dividen sahaja.
Memang secara perundangan, Tesla tidak boleh lakukannya. Tapi, secara asasnya, tunai ada nilai masanya.
Lebih tunggu, lebih untung
RM1 juta dengan kadar keuntungan 4% setahun boleh jadi RM1.23 juta. selepas 5 tahun dan RM1.49 juta selepas 10 tahun. Kalaulah pelanggan taknak teruskan tempahan, Tesla cuma pulangkan sejuta dan ambil selebihnya. Sekali lagi, itu cuma sembang “kalau”.

Pelanggan yang tempah dalam Roadster 2017 dah tunggu hampir 10 tahun dan dalam berita terbaharu, Tesla katakan yang kereta akan keluar 2028. Bukanlah nak menuduh, kalau garis masa boleh dipanjangkan sekali, adakah ia tak akan berulang lagi? Entah-entah daripada 2028 akan jadi 2030 ataupun 2032.
Sebenarnya banyak lagi produk Tesla yang terlepas janji masanya. Tesla Semi asalnya dijanjikan 2019 tapi diinjak ke 2022. Cybertruck daripada 2021 kepada 2023.
Tesla mungkin akhirnya akan hasilkan kereta paling laju di dunia dalam kategori production cars. Namun, sebelum kunci kereta sampai ke tangan pelanggan, kenyataan Tesla buat masa ini adalah dengar boleh, percaya jangan. Tesla tukar penantian menjadi modal.

