Kerajaan telah kembalikan kuota subsidi BUDI95 RON95 daripada 200L kepada 300L. Ia bermakna rakyat Malaysia kini menikmati 100L tambahan RON95 pada harga subsidi RM1.99/L setiap bulan. Ia diumumkan PMX Anwar Ibrahim sewaktu Amanat Khas Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos 2026.

Dengan pengumuman tersebut, lebih 16 juta penerima BUDI95 boleh dapatkan bahan api itu pada harga lebih rendah daripada harga tanpa subsidi. Selain BUDI95, BUDI Diesel juga menerima kuota tambahan. Pengguna kenderaan diesel diberikan kuota 400L yang memanfaatkan lebih 500 ribu rakyat. Untuk rujukan, kuota sebelum ini adalah 300L.
Berapa penjimatan yang dinikmati rakyat Malaysia?
Buat yang terlepas berita, kerajaan Madani telah turunkan kuota BUDI95 kepada 200L pada 1 April 2026 bagi mengurangkan beban fiskal yang ditanggung kerajaan untuk berikan subsidi. Sungguhpun, kuota meningkat, jangan ingat harga petrol tanpa subsidi adalah murah sebaliknya ia lebih tinggi daripada biasa.
Untuk minggu 27 Ogos hingga 2 September 2026, harga RON95 tanpa subsidi adalah RM3.82. Perbezaanya dengan harga subsidi adalah RM1.83/L. Ia bermakna rakyat Malaysia berpotensi untuk jimat RM183/bulan hasil pemberian subsidi oleh kerajaan.
Tapi kesan paling ketara tentunya dirasai pengguna diesel. Harga diesel tanpa subsidi adalah RM4.72 ataupun perbezaan RM2.62. Ia bermakna, pengguna kenderaan diesel jimat sebanyak RM262 sebulan apabila memanfaatkan sepenuhnya subsidi kerajaan.

