Kemarahan driver e-hailing pada APAD ada asasnya

Oleh:

Penjelasan APAD tentang kapasiti maksimum kenderaan e-hailing telah cetuskan perbincangan hangat. Antara topik yang disentuh adalah kepraktikallan, kos operasi, dan kawal selia industri e-hailing yang peserta rasakan berat sebelah.

Peraturan rasmi jelas, tapi debat terus menyala

Bawah peraturan APAD dan JPJ, kenderaan e-hailing perlu ada antara 4 hingga 11 tempat duduk, termasuk kerusi pemandu. Kemudian, bilangan penumpang pula tidak boleh melebihi bilangan tempat duduk.

Contoh yang diberikan adalah Proton Saga yang boleh bawa seramai 4 penumpang (tidak termasuk pemandu) secara sah ataupun Toyota Inova yan gboleh bawa sehingga 7 penumpang.

Walaupun peraturan adalah jelas, masih ramai pemandu e-hailing tidak berpuas hati dan hujah mereka adalah kapasiti penumpang maksimum tidak mengambil kira keselesaan dan kepraktikalan.

Penjelasan APAD dipertikai

Dalam banyak-banyak komen di media sosial, ada satu tema yang ketara jelasnya. Ada yang katakan APAD tidak mempertimbangkan realiti sebenar pemandu e-hailing hadapi sewaktu bertugas. Malah, tiada sebarang libat urus diadakan dengan pihak pemandu, hanya operator sahaja yang memberi saranan. Hasilnya, penguatkuasaan dirasakan tidak seimbang dalam menjaga kepentingan pemandu, penumpang, dan platform e-hailing.

Kapasiti dibenar vs. kepraktikalan

Kereta kecil bawah 1,500cc seperti Perodua Axia dan Perodua Bezza banyak jadi kenderaan e-hailing. Walaupun ada 4 tempat duduk penumpang, pemandu e-hailing katakan yang secara realistik, ia tidak sepatutnya diisi empat penumpang dewasa khususnya untuk pemanduan jauh seperti dari KLIA ke Kuala Lumpur ataupun melalui keadaan jalan raya yang tak rata.

Proton Ertiga pula, walaupun boleh muat 6 penumpang, namun tali pinggang keledar penumpang hanya ada 5 unit. Sama juga seperti Perodua Alza yang ramai pengusahakan katakan yang salah satu tempat duduk hanya sesuai untuk seorang kanak-kanak.

Pemandu juga memetik faktor keselamatan. Contohnya prestasi brek dan pengendalian kereta kecil apabila membawa penumpang maksimum. Itu belum diambil kira bagasi yang dibawa bersama yang memenuhi but.

Ada beberapa cadangan diutarakan pemandu e-hailing. Salah satunya adalah menggunakan formula bilangan tali pinggang keledar tolak dua sebagai kapasiti munasabah untuk penumpang. Ambil semula Proton Saga, sepatutnya kapasiti penumpang dihadkan kepada 2 penumpang dewasa sahaja.

Kos operasi vs. tambang

Kadar tambang yang tak setimpal juga adalah antara faktor pemandu e-hailing bising dengan APAD. Kos seperti minyak, penyelenggaraan, insurans, dan susut nilai kenderaan semuanya memberi kesan pada wang yang peserta e-hailing bawa pulang di akhir hari bekerja. Contoh, bawa 4 penumpang dengan tambang RM4 tak sama dengan bawa seorang dengan tambang yang sama.

Seruan juga dipanjangkan kepada APAD untuk kaji semula komisen yang ditarik platform yang katanya melampau, sehingga 20% pada satu-satu masa.

Mungkin boleh ambil iktibar dengan kes Uber di United Kingdom (UK). Mahkamah Agung UK dalam tahun 2021 memutuskan yang pemandu Uber dilabelkan sebagai pekerja dan menerima beberapa manfaat seperti pekerja bermajikan. Oleh hal demikian, Uber perlu menjamin yang pemandu mereka beroleh sekurang-kurangnya sama dengan kadar gaji asas kebangsaan dan sekiranya tak mencapai kadar itu, Uber perlu top-up.

Pemandu Uber di UK juga ada holiday pay pada kadar 12.07% daripada pendapatan. Setiap minggu, Uber akan kira pendapatan yang layak terima holiday pay dan kurangkan bayaran komisen daripada bahagian Uber yang bermakna pemandu terima lebih banyak pendapatan daripada tambang penumpang.

APAD perlu lebih holistik?

Dalam kes e-hailing, ada beberapa pemegang taruh yang perlu dipertimbang. Penumpang mahukan perkhidmatan yang cekap pada harga yang murah. Pemandu pula mahu maksimumkan pendapatan dan minimumkan kos operasi. Akhir sekali penyedia platform makan komisen kiri, kanan, atas dan bawah. Dalam situasi ideal, APAD perlulah turun padang dan kumpulkan pandangan semua pihak dan lakukan penyelidikan menyeluruh untuk dapatkan maklumat yang terperinci sebelum merangka sebarang polisi.