Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah umumkan satu nombor plet istimewa kenderaan. Kali ini siri H yang ditawarkan bersempena Hari Malaysia 2026. Siri H akan terdiri daripada H 1 hingga H 9999 dan menurut JPJ, “H” melambangkan “Harmoni” serta ia adalah siri unik disebabkan ini bakal jadi siri terakhir yang ada 1 abjad di hadapan.
Proses bida JPJ siri H akan bermula di JPJeBID antara 16 hingga 20 September 2026 dan keputusan bida akan dimumkan pada 21 September 2026.
Siri H, nombor plet istimewa keempat JPJ tahun 2026
Untuk maklumat pembaca FuzzDrive semua, siri H ini bukanlah plet istimewa pertama tahun 2026 yang JPJ umumkan.
Setakat tahun ini, JPJ dah ada 4 siri istimewa iaitu FH, P-P, V-MY dan yang terbaharu H. Sebagai rujukan siri FH diperkenalkan sewaktu Hari Wilayah, siri P-P diperkenalkan pada ulang tahun ke-70 JPJ, V-MY bersempena dengan Visit Malaysia 2026, dan akhir sekali H bersempena Hari Malaysia 2026.
Dengan setiap siri ada 9,999 plet number berdaftar, ia bermakna sebanyak 39,996 nombor istimewa disediakan untuk disambar pengguna.
Penjualan nombor plet menguntungkan. Kerajaan umumkan yang sebanyak RM312 juta diperoleh hasil penjualan nombor plet dalam tahun 2023 sahaja. Semua hasil disalurkan ke perbendaharaan dan diguna untuk pembangunan negara.
Netizen harapkan pengumuman yang lebih elok
Bila pergi ke ruangan komen, pengumuman JPJ ini terima reaksi yang bercampur baur. Jabatan itu sebenarnya telah hantar teaser tentang plet baharu ini sejak 5 hari yang lalu. Ketika itu ramai yang jangkakan pengumuman yang signifikan seperti yang berkaitan keselamatan jalan raya ataupun penguatkuasaan.
Ada yang harapkan JPJ lebih tegas dan adil dalam menguatkuasakan peraturan. Contohnya, berkaitan orang memandu tanpa lesen yang sah terutamanya yang melibatkan warga asing. Ada yang persoalkan fokus JPJ yang diberikan pada pengenalan nombor plate adalah tidak wajar.
Sumber: JPJ

