JPJ sedia 24 jam di KLIA sedia lindungi pelancong dari ulat teksi sempena Visit Malaysia 2026.

JPJ ronda 24 jam di KLIA sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Oleh:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal nikmati rondaan 24 jam daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bertujuan untuk kekang kegiatan ulat teksi yang mengintai mangsa di balai ketibaan. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada operasi JPJ terdahulu antara 12 hingga 26 Jun yang menyaksikan 54 kenderaan telah disita.

Menurut JPJ, sebanyak 27 kenderaan persendirian, 2 kenderaan syarikat, dan 9 teksi serta 16 e-hailing telah diambil tindakan serta 76 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APAD) 2010. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli mengatakan terdapat pengambilan penumpang tanpa permit sah dikesan dan lebih parah, caj luar biasa tinggi dikenakan kepada mangsa.

Salah satu kes yang dirujuk adalah pelancong China yang asalnya ditawarkan harga RM60 untuk perkhidmatan dari Terminal 2 KLIA ke Kuala Lumpur tetapi didakwa dipaksa membayar RM836 apabila tiba ke destinasi. Mangsa juga mendakwa telah diugut dan dihalang daripada keluar kereta sehinggalah bayaran dilunaskan.

JPJ ronda dalam 3 syif di KLIA

Untuk elak perkara sama berulang, JPJ akan pertingkatkan operasi penguatkuasaan di kedua-dua terminal. Anggota JPJ akan bergilir-gilir dalam 3 syif untuk ronda selama 24 jam bermula 13 Julai 2026.

Pegawai kanan juga akan turut bertugas di sana untuk perkukuh pemantauan di KLIA. JPJ kata yang perkara ini penting untuk kekang orang yang melanggar akta pengangkutan dan dalam masa yang sama menjaga reputasi Malaysia yang bersedia menerima pelancong yang ramai bersempena dengan Visit Malaysia 2026.

Pengguna disaran guna perkhidmatan berlesen

JPJ akan bekerjasama dengan Malaysia Airports untuk tingkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk guna perkhidmatan pengangkutan berlesen. Pengumuman menerusi siar raya dan poster statik akan ditempatkan di lokasi strategik untuk mengingatkan penumpang.

Setakat Jun 2026, JPJ maklumkan yang mereka telah memeriksa 151 kenderaan yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti ulat teksi. Mereka telah mengambil tindakan ke atas lebih 130 daripadanya sama ada dengan pengeluaran kompaun ataupun penyitaan.