Peminat kereta modified, asap tayar, bunyi enjin bingit dan horsepower yang agak keterlaluan, MotorManiac Festival 2026 patut masuk dalam senarai anda.
Edisi kelima festival terbesar gaya hidup automotif Malaysia ini bakal berlangsung pada 5 dan 6 September 2026, di Rooftop, Level 7, MyTOWN Kuala Lumpur. Tahun ini dijangka menarik sekitar 40,000 peminat automotif, dengan skop festival yang semakin meluas merangkumi drift, muzik live, budaya jalanan, diecast dan banyak lagi.
Ini adalah lima perkara yang boleh dinantikan oleh petrolhead di MotorManiac Festival 2026.

1. Kereta modified dan berprestasi tinggi
Sudah tentu, kereta tetap jadi teras utama MotorManiac Festival.
Acara dua hari ini akan menghimpunkan ratusan kereta berprestasi tinggi yang boleh jadi halwa mata pengunjung. Ia lebih daripada sekadar showroom biasa. Bermula daripada edisi pertama 2019, MotorManiac Festival mekar berkembang jadi platform lifestyle automotif yang besar.

Festival ini menghimpunkan komuniti kereta daripada pelosok rantau dan genre. Fuzz Drive sendiri akan menyertai pameran ini. Selain tengok kereta, ambil juga peluang untuk dapatkan komponen, aksesori, merch, dan produk automotif lain.
2. Pengumuman MotorManiac Drfit Academy & ASTRA Drift Team
Tak cukup dengan display statik sahaja. MotorManiac Festival 2026 juga akan jadi pentas pengumuman penubuhan MotorManiac Drift Academy dan ASTRA Drift Team, bersama beberapa nama besar antarabangsa dari dunia drifting.

Antaranya ialah Rome Charpentier, pemandu drift profesional Amerika yang bertanding dalam Formula Drift Pro, personaliti drifting Belanda Vernon Zwaneveld, serta dua bintang drift Indonesia, Dika Champion dan Alvito Hardianto.
Acara ini turut memberi sorotan kepada MotorManiac Drift Academy, yang merupakan ahli pengasas World Drift School Alliance (WDSA). Akademi ini bertujuan menyediakan latihan berstruktur dan peluang antarabangsa untuk bakal drifter Malaysia, termasuk laluan berpotensi ke pertandingan di negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
3. DEF JAM bawa konsert ke rooftop
MotorManiac bukan saja tarik minat petrolhead. Orang luar juga boleh berhibur bila naik ke rooftop MyTown ini. DEF JAM Southeast Asia menyertai MotorManiac Festival 2026 sebagai Official Stage Partner, membawa konsert terbuka ke rooftop MyTOWN.
Line-up merangkumi antara nama terbesar dalam scene hip-hop dan muzik Malaysia masa kini, termasuk Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.
Jadi kalau anda merancang habiskan hari tengok kereta sebelum tutup malam dengan muzik live, MotorManiac tahun ini dah sediakan semuanya. Ada juga koleksi merchandise eksklusif MotorManiac x DEF JAM Southeast Asia, dengan 12 SKU berbeza.

4. Pertarungan B-Boy, bola sepak jalanan dan diecast
Daripada kereta dan konsert, kepada budaya jalanan. Festival kali inimembawa elemen budaya jalanan, termasuk persembahan B-Boy daripada Jom Battle, diketuai oleh Sora yang pernah menjuarai pelbagai pertandingan B-Boy antarabangsa di Asia dan Eropah.

Pemain freestyle bola sepak jalanan Red Bull, Zeem Ahmad, yang juga Juara Asia Panna, turut akan beraksi. Bagi yang lebih suka sesuatu yang kurang fizikal, Mini Diecast Expo akan menghimpunkan koleksi miniatur automotif yang rare dan eksklusif.
Semua ini sejajar dengan visi MotorManiac untuk menghubungkan kereta dengan fesyen, muzik, kreativiti dan budaya jalanan di sekelilingnya.
5. Peluang bawa pulang sebuah Nissan Cefiro A31
Dan ini bahagian pengunjung taknak lepaskan peluang. Setiap RM50 dibelanjakan untuk merchandise rasmi MotorManiac memberi peluang menyertai cabutan bertuah festival ini, dengan hadiah utama sebuah Nissan Cefiro A31.

Ya, sebuah kereta sebenar, sedia untuk dipandu dan drift. Sah dipandu atas jalan raya juga. Lain-lain termasuk GGR Electric Bike, Teg Suspension Kit, Young Wrap car wrap, OMP Racing Helmet, Defi Meter Set dan alatan DeWalt, antara lain.
MotorManiac Festival bukan sekadar perhimpunan biasa
Ada juga beberapa pengumuman penting lain bakal dikongsikan Bateriku di MotorManiac Festival 2026. Salah satunya adalah aplikasi telefon MotorManiac. Ia dibangunkan sebagai platform digital fokus automotif merangkumi tiket acara, merchandise, part performance, marketplace automotif dan forum komuniti.
Selain itu, satu produk bateri baru akan diperekenalkan. ASTRA-X, bateri prestasi jenis lithium iron phosphate (LFP) yang ringan disasarkan untuk kegunaan racing dan drifting. Sementara tunggu info lanjut tentang mereka, mari tumpu pada festival itu sendiri.
MotorManiac Festival 2026 berlangsung pada Sabtu, 5 September dan Ahad, 6 September, di Rooftop, Level 7, MyTOWN Kuala Lumpur.
Harga tiket ialah RM30 untuk one-day pass atau RM50 untuk two-day pass. Tiket boleh didapatkan secara walk-in, tapi kalau tak mahu beratur panjang, boleh beli secara dalam talian di rakanbateriku.com, Lazada atau terus di festival itu sendiri.

