Ramai bising Proton S70 jadi Teksi Madani rosakkan resale value, tetapi isu sebenar ialah kemerosotan industri teksi.

Lupakan Debat Teksi Proton S70 Resale Value, Ini Krisis Sebenarnya

Oleh:

Pemilihan Proton S70 jadi Teksi Madani cetuskan debat dalam kalangan pengguna Malaysia. Ada satu golongan yang lihat sebagai satu inisiatif memodenkan industri teksi Malaysia manakala ada satu golongan lagi melihatnya mencalarkan imej model dan merosakkan resale value model tersebut.

Walau apapun hujahnya, ada isu yang lebih besar perlu kita ambil tahu. Industri teksi Malaysia sebenarnya menunjukkan trend merudum impak daripada persaingan sengit platform e-hailing.

Teksi Madani: Proton S70 teksi rasmi Malaysia

Teksi Malaysia perlu dimodenkan

Rudumnya teksi Malaysia boleh dilihat daripada pengurangan permit teksi yang aktif daripada tahun ke tahun. Data daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menunjukkan yang daripada tahun 2020 hingga 2025, permit teksi yang aktif turun daripada 76,031 kepada 50,610 ataupun penurunan sebanyak 33% dalam masa 6 tahun.

Ia mungkin disebabkan tabiat pengguna yang dah berubah. Platform e-hailing macam Grab telah naikkan tanda aras yang sukar untuk teksi tradisional capai. Contohnya, kos trip keseluruhan dikira terlebih dahulu, kemudahan tempah, ciri menjejak masa nyata, dan kenderaan lebih bersih.

Satu tinjauan yang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) satu ketika dulu menunjukkan yang 80% pengguna lebih cenderung gunakan e-hailing berbanding teksi tradisional.

Kenapa pilih Proton S70?

Proton S70 mewakili salah satu isu yang hendak kerajaan selesaikan iaitu teksi usang. Ramai pengguna komen yang teksi tradisional guna model kenderaan yang usang dan tak selesa. Kerajaan dalam tahun 2023 telah melanjutkan had umur kenderaan yang layak digunakan untuk kegunaan teksi daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

Teksi 1 Malaysia dah baru. Proton S70 diangkat teksi rasmi. Boleh naik taraf kenderaan sedia ada atau mohon baru.

Cuba anda bayangkan teksi berusia 15 tahun bagaimana rupanya, ataupun ciri keselamatan apa yang berbeza untuk teksi yang terkini. Model seperti Proton S70 ada ruang penumpang yang lebih selesa, ciri keselamatan termaju, dan lebih lasak. Semua ini sumbang kepada pengalaman penumpang yang lebih baik.

Teksi Proton S70 jejas resale value?

Satu perkara yang disuarakan segelintir pengguna adalah kehilangan prestij Proton S70 sebagai “conti-killer”. Walau bagaimanapun, kalau dilihat pada pasaran luar, kenderaan yang diguna sebagai teksi tak bermakna ia tak bagus. Di luar sana, Mercedes-Benz E-Class, Toyota Crown, Toyota Camry, ada saja yang dijadikan teksi. Semua model-model ini terbukti ketahanan, keselesaan, dan optimum kos operasinya.

Sepatutnya pemilik Proton S70 berbangga kerana pemilihan model ini bermakna kerajaan mempercayai keupayaannya.

Kereta baru saja tak mampu pulihkan industri teksi

Bukan setakat “hardware” saja yang kena dibaiki, “software” pun perlu diubah. Survei mendapati hanya 27% teksi tradisional ada fungsi aplikasi dalam talian untuk tempahan perjalanan. Jelas sekali ada jurang antara teksi tradisional dengan e-hailing. Itu belum diambil kira rungutan pengguna tentang teksi tradisional cekik darah, kotor, dan pemandunya tak professional.

Kajian di New York City menunjukkan yang servis e-hailing seperti Uber dan Lyft catatkan 14 juta perjalanan sebulan lebih banyak berbanding teksi tradisional dalam tahun 2017 dan trend menunjukkan lebih peningkatan. Ia menunjukkan yang persaingan saja tidak menjanjikan perubahan kecualilah ada rombakan dari dalam.